Khamis, 30 Julai 2015

TANDA-TANDA ORANG YANG BERSYUKUR...


Artinya : “ Dan (ingatlah) tatkala Tuhanmu memaklumkan, ‘Sesungguhnya jika kamu bersyukur, pasti Kami akan tambah (nikmat) kepadamu dan jika kamu ingkar, sungguh azab-ku amatlah pedih”.

Surah Ibrahim : ayat 7

Bertempat di Kg Bumi HIjau diadakan Tazkirah dan Bacaan Yasin pada 29 Mei 2015 yang telah disampaikan oleh Ustaz Mohammad Afiq bin Mohd Nazri, Pemaju Masyarakat Bina Insan KEMAS Parlimen Beruas.

Antara intipati yang disampaikan adalah Adakah Kita Bersyukur Dengan Nikmat Allah S.W.T? Dan Apakah tanda-tanda orang yang bersyukur?



Tanda-tanda orang yang bersyukur itu :
1) Bersyukur Dengan Hati iaitu adalah dengan mengakui, mengimani dan meyakini bahwa segala bentuk kenikmatan ini datangnya hanya dari Allah SWT semata.

2) Bersyukur Dengan Lidah iaitu dengan kita memperbanyak ucapan alhamdulillah (segala puji milik Allah) wasysyukru lillah (dan segala bentuk syukur juga milik Allah)

3) Bersyukur Dengan Perbuatan iaitu perbuatan dalam bentuk ketaatan kita menjalankan segala apa yang diperintah dan menjauhi segala apa yang dilarangNya. PerintahNya termasuk segala hal yang yang berhubungan dalam rangka menunaikan perintah-perintah Allah, baik perintah itu yang bersifat wajib, sunnah maupun mubah.



Program diakhiri dengan penyampaian goodies kepada yang hadir ke Program Diskusi Ilmiah itu.
Ucapan terima kasih atas penglibatan orang kampung hadir ke majlis itu.


Selasa, 30 Jun 2015

Badan Sihat... Minda Cerdas...


Satu sesi pemeriksaan kesihatan melibatkan pemeriksaan kesihatan dan rawatan ubat cacing serta pergigian di premis Tabika KEMAS Parlimen Beruas dari Klinik Kesihatan dan Pergigian menunjukkan usaha jabatan KEMAS dan Kesihatan dalam memastikan agar setiap kanak-kanak mendapat penjagaan dan kesihatan yang baik.


 




Badan yang sihat memainkan peranan dalam membentuk minda dan akal yang cerdas. Melalui pemeriksaan kesihatan dan langkah penjagaan gigi , sekurang-kurangnya kanak-kanak didedahkan cara penjagaan kesihatan tubuh badan dan gigi yang sihat agar terhindar dari jangkitan sebarang penyakit dan karies gigi  kerana Mencegah Lebih Baik Dari Mengubati.

Di dalam unit Prasekolah sendiri, rekod berat dan tinggi kanak-kanak diambil kira mengikut peringkat umur dan kesihatan yang baik agar dapat melihat perkembangan dan tumbesaran kanak-kanak.

  




Dengan adanya usaha ini, diharap dapat diteruskan setiap tahun agar kanak-kanak terus diberikan pendedahan dalam penjagaa kesihatan mereka.


PROGRAM DISKUSI ILMIAH...

Majlis Bacaan Yasin , Tahlil Ringkas dan Tazkirah KEMAS Parlimen Beruas...

BERUAS- Bacaan Yasin dan Tahlil Ringkas oleh Ustaz Mohammad Afiq bin Mohd Nazri, PM Bina Insan KEMAS Parlimen Beruas pada 11 April 2015 yang lalu telah diadakan untuk masyarakat setempat.





Tazkirah mengenai Nikmat Bersyukur turut disampaikan. Di dalam intipati tersebut, Adakah Kita Masih Bersyukur? Jika dibandingkan dengan negara orang lain yang hidup serba daif dan kekurangan, setidak-tidaknya nikmat yang kita dapati di Malaysia ini adalah lebih baik.



Sebagai contoh, jika ditanya mengenai bekalan elektrik, kita masih mampu menggunakannya sebaik mungkin, jika dibandingkan di negara Indonesia di mana kadangkala sukar mendapatkan bekalan air dan elektrik. Bayangkan untuk mendapatkan bekalan elektrik mengambil masa hampir empat jam untuk setiap kali dalam tempoh sehari.. Belum termasuk bekalan air yang memerlukan janakuasa elektrik untuk mendapatkan air. Fikir-fikirkanlah...Tepuk Dada Tanyalah Iman...

Kesimpulannya, marilah kita sama-sama bermuhasabah diri dan memikirkan betapa bersyukurnya nikmat yang  kita dapat di Malaysia tercinta ini. Janganlah kita alpa dan  kufur dengan nikmat yang diberi...




Isnin, 30 Mac 2015

PENYERAHAN BANGUNAN BARU TABIKA KG PAYA NIBONG…


Jutaan terima kasih yang tidak terhingga dari kami Warga KEMAS Parlimen Beruas serta penduduk Kg Paya Nibong kepada Ybhg Tuan Ahmad Kamal Idris bin Hj Mohd Nawawi, Pengarah KEMAS Negeri Perak atas usaha gigih bagi mendapatkan peruntukan membina bangunan baru Tabika di Kg Paya Nibong yang telah siap dibina sepenuhnya.

 


Majlis Menandatangani penyerahan bangunan baru itu telah disempurnakan pada 19 Januari 2015 yang lalu dengan penglibatan Pengerusi dan Jawatankuasa Kelas TBK Kg Paya NIbong serta masyarakat setempat.
Alhamdulillah atas usaha murni dan berkat kesabaran dan komitmen dari semua pihak semenjak bermula 2014 yang lalu, kini terhasil sebuah bangunan yang mampu memberi keselesaan kepada kanak-kanak Tabika dalam sesi pembelajaran mereka.




 



Ibu bapa kanak-kanak tersebut juga turut menyuarakan rasa bersyukur  dan berterima kasih kepada pihak kerajaan  kerana menyediakan prasarana yang baik kepada anak-anak mereka.
Semoga dengan adanya bangunan baru ini, “Keselesaan Kanak-Kanak Didahulukan, Pendidikan Kanak-Kanak Diutamakan”

Lawatan Kerja Ke Premis Tabika / Taska KEMAS Parlimen Beruas...


Bermula minggu awal sesi persekolahan Kanak-Kanak Tabika, lawatan kerja yang diketuai oleh En. Ahmad Sukri bin Ismail, Penyelia Kanan KEMAS Parlimen Beruas beserta Penyelia Pelbagai Jurusan telah menjalankan lawatan kerja ke setiap premis Tabika di Parlimen Beruas bagi melihat perjalanan waktu Pengajaran dan Pembelajaran (P&P) bermula dari awal waktu pembelajaran hinggalah tamat sesi persekolahan.


Turut dipantau dan dititikberatkan adalah Menu Harian, Ringkasan Aktiviti Harian (RAH) dan rekod kemasukan kanak-kanak bagi memastikan perjalanan P & P berjalan baik dan lancar. Kebersihan persekitaran luar dan dalam premis juga dilihat bagi memastikan keselesaan kanak-kanak belajar.

 

Bertemakan Minggu Suai Kenal, kanak-kanak didedahkan dengan sesi berdialog bersama Pemaju Masyarakat agar tidak berasa janggal ketika berada dalam proses pembelajaran nanti.


Dengan lawatan kerja ini, sedikit sebanyak memberi sokongan kepada Pemaju Masyarakat Tabika / Taska dalam menjalankan tugas hakiki mereka.

Ahad, 18 Januari 2015

Apabila Dipanggil Kita Datang, Disuruh Kita Pergi...


Majlis Perjumpaan Kakitangan Kemas Beruas Seramai 50 orang bersama Pengarah KEMAS Negeri Perak,  Tn. Ahmad Kamal Idris b. Hj Mohd Nawawi telah diadakan di Perkarangan Pejabat KEMAS Beruas pada 5 Januari 2015.

Majlis didahului dengan Bacaan Ikrar di hadapan Tn. Pengarah telah dilaksanakan....





Majlis diteruskan dengan ucapan amanat dari Tn. Pengarah KEMAS Perak.
Dalam satu amanatnya , beliau berkata, "Kerjasama yang ditunjukkan perlulah diteruskan dari semasa ke semasa tidak mengira jurang . Tambahan,  dengan adanya semangat berpasukan ini , maka mutu dan produktiviti akan semakin bertambah." Petikan kata-kata "Apabila Dipanggil Kita Datang, Disuruh Kita Pergi" menunjukkan bahawa  komitmen dan tanggungjawab perlu ditanam dalam diri setiap orang..Begitulah kata-kata beliau dalam memberi suntikan semangat dan dorongan terhadap kami.


 
Dengan berpakaian korporat merah yang bersimbolikkan semangat dan kegigihan, Kami yakin bahawa amanat yang bermakna yang disampaikan oleh Tn. Pengarah akan menjadi azimat dalam hidup kami.

Kami Warga KEMAS Beruas akan terus dan bersedia memberikan komitmen yang tinggi,kualiti yang baik demi mendidik anak bangsa, agama, bangsa negara!





Rasulullah S.A.W Contoh Ikutan Akhlak Yang Baik..


12 Rabi'ul awal 1436H - Tarikh ini diadakan Sambutan Maulidur Rasul sempena kelahiran Junjungan Besar Nabi Muhammad S.A.W kekasih Allah disertai Selawat serta Salam ke atasnya.

Allah SWT berfirman“Demi sesungguhnya adalah bagi kamu pada diri Rasulullah itu contoh ikutan yang baik, iaitu bagi orang yang sentiasa mengharapkan (keredaan Allah) dan (balasan baik) hari akhirat, serta dia juga menyebut dan mengingati Allah sebanyak-banyaknya (dalam masa susah dan senang)”   
(Surah al-Ahzab, ayat 21).

Perarakan Maulidur Rasul yang disertai seramai 100 orang di Perkarangan Pejabat KEMAS Beruas telah diadakan bagi mengingati akhlak dan sunnah Nabi yang kita patut contohi.




                                              Selawat Allah ke atas Muhammad,
                                                   Selawat salam dipohon lagi,
                                              Selawat Allah ke atas Muhammad,
                                                    Selawat salam dipohon lagi.

Begitulah antara intipati selawat yang dilaungkan bersama-sama semasa perarakan.. 

Antara akhlak dan Peribadi Rasulullah iaitu :
Rasulullah amat menjaga hati orang lain dengan menolak setiap perkara buruk dengan baik supaya orang yang berbuat salah itu tidak berkecil hati dengannya.
 Juga, walaupun baginda terpelihara dari dosa : maksum dan dan mulia di sisi ALLAH, baginda tetap merendah diri dan memohon dijauhi dari akhlak yang buruk. 




Dengan adanya Perarakan Maulidur Rasul yang diadakan setiap tahun ini, semoga kita mengambil contoh ikutan dan mengamalkan sunnah baginda agar menjadi ikutan kita dalam kehidupan. Tambahan, dengan adanya majlis seumpama ini, dapatlah lagi mengeratkan hubungan silaturrahim antara satu sama lain.