Selasa, 23 September 2014

MELENTUR BULUH BIAR DARI REBUNG…..


Memetik kata-kata Sayidina Umar Al-Khatab R.A “Didiklah Anakmu Sesuai Dengan Zaman”. Dari kata-kata ini menggambarkan betapa pentingnya mendidik anak-anak mengikut zaman yang dianggap Permata Negara ini walaupun tidak berlaku seperti zaman Rasulullah S.A.W, tetapi aktiviti dan pengisian yang diinisiatif oleh beberapa Tabika di Parlimen Beruas serba sedikit dapat menerapkan unsur-unsur kerohanian dalam setiap diri anak-anak Tabika.

          

Kanak-kanak di Tabika bukan sekadar diajar 4M (Membaca, Menulis, Mengira, Menaakul), tetapi nilai-nilai kerohanian turut diterapkan. Antara contoh pengisian aktiviti yang boleh diterapkan seperti menziarahi orang yang lebih tua, melawat sambil belajar di surau dan masjid serta gotong royong membersihkan kawasan perkuburan.


Harapan kepada anak-anak ini akan terdidik dengan nilai-nilai murni serta mengambil contoh akhlak Rasulullah S.A.W dalam kehidupan seharian mereka. Budaya dan aktiviti sebegini diharap dapat membentuk jiwa yang ikhlas dan saling menyayangi.


 

JASAMU DIKENANG……



Program Meraikan Pesaraan dan Penyerahan Tugas Pn Padzilah bt Mat Akib, Penyelia Pra Sekolah KEMAS Parlimen Beruas telah diadakan pada 31 Mac 2014 di dalam satu Majlis yang dihadiri oleh Kakitangan KEMAS Parlimen Beruas bagi mengenang jasa beliau berkhidmat hampir 30 tahun.







Turut hadir meraikan ialah Ybhg Tuan Ahmad Kamal Idris bin Hj Mohd Nawawi, Pengarah KEMAS Negeri Perak yang hadir memeriahkan majlis tersebut. Di dalam ucapannya, beliau mengucapkan setinggi-tinggi tahniah dan penghargaan atas jasa Pn. Padzilah yang telah memikul tanggungjawab dalam menjalankan tugas-tugas unit Prasekolah dengan baik.

 




Program diakhiri dengan penyampaian serah tugas kerja Pra Sekolah dan penyampaian cenderahati buat Pn. Padzilah bt Mat Akib dan bergambar kenang-kenangan..

Terima kasih... Jasamu Dikenang....


  

SANTAI - SANTAI HARI KELUARGA


26 MAC 2014 – Sambutan Hari Keluarga yang diadakan di Pusat Konservasi Penyu Segari telah mendapat sambutan hangat. Kehadiran En. Ali Hanafiah bin Abu Hassan, Pen. Pengarah Kanan KEMAS Negeri Perak turut memeriahkan program itu.



Pelbagai acara diadakan seperti senaman aerobik dan sukaneka diadakan mengikut peringkat umur bermula dari kanak-kanak sehingga acara dewasa. Paling mendapat sambutan adalah acara mengutip Yat-Yat di mana acara keluarga ini melihat kerjasama antara anak dan pasangan. Pelbagai gelagat dilihat di dalam program ini.

   



Turut diberikan demonstrasi Masakan Udang Masak Ros dan Lawatan ke Pusat Penetasan Penyu turut dijalankan.



Acara seperti ini berbentuk santai dan bertepatan kerana merapatkan hubungan kekeluargaan sesama warga KEMAS Parlimen Beruas.





PERARAKAN SAMBUTAN MAULIDUR RASUL 1435H / 2014M KEMAS PARLIMEN BERUAS


BERUAS - 14 Januari 2014 telah diadakan Perarakan Sambutan Maulidur Rasul KEMAS Parlimen Beruas bermula di TBK Beruas dan di sepanjang  perkarangan jalan Pekan Beruas. Program yang bertemakan “Wasatiyyah Tonggak Kesatuan Ummah” ini dimulakan dengan dengan ucapan aluan dari En. Ahmad Sukri bin Ismail, Penyelia Kanan KEMAS Parlimen Beruas. Turut hadir adalah kepimpinan kampung yang berada di kawasan Beruas. Penglibatan Kanak-kanak Tabika KEMAS Parlimen Beruas sebanyak 100 orang dan penglibatan beberapa agensi kerajaan yang lain.






Tujuan perarakan ini adalah sebagai satu pendekatan sempena memperingati  junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W dengan sifat terpuji. Tema “Wasatiyyah Tonggak Kesatuan Ummah” ini membawa maksud bersederhana dalam pelbagai aspek mengikut akhlak dan sunnah Rasulullah S.A.W di dalam kehidupan seharian perlu dipupuk. Tanpa sifat mahmudah ini, maka manusia akan leka dan bersifat bangga diri. Kanak-kanak juga akan diberi pendedahan awal berkenaan sirah Rasulullah S.A.W dan membentuk keperibadian yang baik kepada mereka.




Program Sambutan Maulidur Rasul ini dijadikan acara tahunan agar dapat mendidik anak-anak dan masyarakat mencintai Rasulullah dari segi segi akhlak dan sosial. Di samping itu, program ini dapat merapatkan hubungan silaturrahim sesama umat Islam.