Rabu, 31 Disember 2014

SAYA BANGGA MEMAKAI JUBAH INI ……


Adik Nur Maisarah bangga apabila gurunya menyarungkan jubah dan ketawa riang… Betapa bangga ibu dan ayahnya melihat anaknya yang akan menerima segulung penghargaan.
Adik Nur Maisarah merupakan salah seorang dari 122 orang kanak-kanak berumur 6 tahun yang menerima sijil dalam majlis tersebut.

Penghargaan yang diberi kepada kanak-kanak berumur 6 tahun ini dibuat sempena meraikan kejayaan mereka menamatkan sesi persekolahan di Tabika KEMAS Parlimen Beruas dan kebanyakanya telah berjaya menguasai 4M ( Membaca, Menulis, Mengira dan Menaakul).






Acara dirasmikan oleh En. Ali Hanafiah bin Abu Hassan, Pen. Pengarah Kanan KEMAS Negeri Perak yang hadir ke majlis tersebut. Dalam ucapan, beliau menyeru dan berharap ibu bapa dapat menghantar anak-anak mereka ke kelas Tabika KEMAS kerana KEMAS bukanlah dilabel mewarna semata-mata seperti yang digembar-gemburkan. Ini kerana di dalam kelas Tabika, terdapat pelbagai kurikulum utama yang telah diterapkan iaitu bidang keagamaan yang menekankan 10 Doa Harian dalam kehidupan seharian, subjek Sains & teknologi, kreativiti & estetika, bahasa dan kognitif turut diberi pembelajaran.

Tambahan, pelbagai aktiviti dapat diadakan seperti seperti Hari Potensi yang mana mencungkil bakat kanak-kanak seperti tilawah, hafazan, story telling dan pelbagai lagi. Di samping itu terdapat juga amali dipraktikkan di dalam kelas Tabika seperti amali solat dan berwuduk turut diajar kepada kanak-kanak beragama Islam.







Maka, dengan belajar di Tabika, ia merupakan satu tiket dan bekalan ilmu  untuk persediaan anak-anak ini ke Darjah  Satu nanti. Dengan adanya majlis graduasi ini, diharap ibu bapa dapat menghantar anak-anak mereka ke kelas Tabika dan setiap ibu bapa perlu memberi perhatian kepada anak mereka dan tidak mengharapkan sepenuhnya kepada guru sahaja yang mendidik kerana pendidikan segalanya bermula dari rumah dan dengan adanya kerjasama ini, maka  kecemerlangan terhadap anak-anak mereka dapat dicapai dengan jayanya.


DEMO DALAM GST


BERUAS - Telah diadakan satu Majlis Penerangan GST dan Demonstrasi Masakan di DOR kg Pulau Meranti dan kelas PKK Pekan Beruas pada 15.12.2014 dan 16.12.2014 jam 3.00 ptg
Majlis ini diadakan bertujuan memberi penerangan mengenai Apa itu GST dan barangan yang tidak dikenakan GST telah ditunjukkan melalui Demonstrasi Masakan tersebut.
Sedikit sebanyak pemahaman mengenai GST ini dapat diterapkan kepada peserta yang menghadiri Majlis ini.




Antara barangan yang tidak dikenakan GST adalah barangan makanan asas seperti beras, gula, garam, tepung, minyak masak, sayur-sayuran, ikan, daging ternakan, telur dan lain-lain makanan asas. Kemudahan pekhidmatan asas seperti bekalan air paip dan 200 unit pertama penggunaan elektrik sebulan(bagi pengguna domestic), perkhidmatan pengangkutan, perkhidmatan kesihatan dan pendidikan, pengeluaran passport dan lessen, jual beli dan sewaan rumah kesiaman serta tanah pertanian juga tidak dikenakan GST.







Dengan adanya GST ini, ia dapat mengurangkan kos perniagaan di samping menjadikan harga lebih berpatutan kepada pengguna. Malah GST menjamin ketelusan kerana pengguna akan mengetahui barangan yang dibeli atau perkhidmatan tertakluk kepada cukai dan amaun cukai yang perlu dibayar.

Dengan adanya majlis di ini, diharap peserta lebih memahami dan dengan pelaksanaan GST pada April 2015 yang akan dating, ia dapaat mengatasi pelbagai kelemahan yang terdapat di dalam sistem percukaian yang sedia ada. Pada masa yang sama, GST merupakan salah satu langkah terbaik bagi mengukuhkan ekonomi Negara dalam jangka masa panjang.

Selasa, 23 September 2014

MELENTUR BULUH BIAR DARI REBUNG…..


Memetik kata-kata Sayidina Umar Al-Khatab R.A “Didiklah Anakmu Sesuai Dengan Zaman”. Dari kata-kata ini menggambarkan betapa pentingnya mendidik anak-anak mengikut zaman yang dianggap Permata Negara ini walaupun tidak berlaku seperti zaman Rasulullah S.A.W, tetapi aktiviti dan pengisian yang diinisiatif oleh beberapa Tabika di Parlimen Beruas serba sedikit dapat menerapkan unsur-unsur kerohanian dalam setiap diri anak-anak Tabika.

          

Kanak-kanak di Tabika bukan sekadar diajar 4M (Membaca, Menulis, Mengira, Menaakul), tetapi nilai-nilai kerohanian turut diterapkan. Antara contoh pengisian aktiviti yang boleh diterapkan seperti menziarahi orang yang lebih tua, melawat sambil belajar di surau dan masjid serta gotong royong membersihkan kawasan perkuburan.


Harapan kepada anak-anak ini akan terdidik dengan nilai-nilai murni serta mengambil contoh akhlak Rasulullah S.A.W dalam kehidupan seharian mereka. Budaya dan aktiviti sebegini diharap dapat membentuk jiwa yang ikhlas dan saling menyayangi.


 

JASAMU DIKENANG……



Program Meraikan Pesaraan dan Penyerahan Tugas Pn Padzilah bt Mat Akib, Penyelia Pra Sekolah KEMAS Parlimen Beruas telah diadakan pada 31 Mac 2014 di dalam satu Majlis yang dihadiri oleh Kakitangan KEMAS Parlimen Beruas bagi mengenang jasa beliau berkhidmat hampir 30 tahun.







Turut hadir meraikan ialah Ybhg Tuan Ahmad Kamal Idris bin Hj Mohd Nawawi, Pengarah KEMAS Negeri Perak yang hadir memeriahkan majlis tersebut. Di dalam ucapannya, beliau mengucapkan setinggi-tinggi tahniah dan penghargaan atas jasa Pn. Padzilah yang telah memikul tanggungjawab dalam menjalankan tugas-tugas unit Prasekolah dengan baik.

 




Program diakhiri dengan penyampaian serah tugas kerja Pra Sekolah dan penyampaian cenderahati buat Pn. Padzilah bt Mat Akib dan bergambar kenang-kenangan..

Terima kasih... Jasamu Dikenang....


  

SANTAI - SANTAI HARI KELUARGA


26 MAC 2014 – Sambutan Hari Keluarga yang diadakan di Pusat Konservasi Penyu Segari telah mendapat sambutan hangat. Kehadiran En. Ali Hanafiah bin Abu Hassan, Pen. Pengarah Kanan KEMAS Negeri Perak turut memeriahkan program itu.



Pelbagai acara diadakan seperti senaman aerobik dan sukaneka diadakan mengikut peringkat umur bermula dari kanak-kanak sehingga acara dewasa. Paling mendapat sambutan adalah acara mengutip Yat-Yat di mana acara keluarga ini melihat kerjasama antara anak dan pasangan. Pelbagai gelagat dilihat di dalam program ini.

   



Turut diberikan demonstrasi Masakan Udang Masak Ros dan Lawatan ke Pusat Penetasan Penyu turut dijalankan.



Acara seperti ini berbentuk santai dan bertepatan kerana merapatkan hubungan kekeluargaan sesama warga KEMAS Parlimen Beruas.





PERARAKAN SAMBUTAN MAULIDUR RASUL 1435H / 2014M KEMAS PARLIMEN BERUAS


BERUAS - 14 Januari 2014 telah diadakan Perarakan Sambutan Maulidur Rasul KEMAS Parlimen Beruas bermula di TBK Beruas dan di sepanjang  perkarangan jalan Pekan Beruas. Program yang bertemakan “Wasatiyyah Tonggak Kesatuan Ummah” ini dimulakan dengan dengan ucapan aluan dari En. Ahmad Sukri bin Ismail, Penyelia Kanan KEMAS Parlimen Beruas. Turut hadir adalah kepimpinan kampung yang berada di kawasan Beruas. Penglibatan Kanak-kanak Tabika KEMAS Parlimen Beruas sebanyak 100 orang dan penglibatan beberapa agensi kerajaan yang lain.






Tujuan perarakan ini adalah sebagai satu pendekatan sempena memperingati  junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W dengan sifat terpuji. Tema “Wasatiyyah Tonggak Kesatuan Ummah” ini membawa maksud bersederhana dalam pelbagai aspek mengikut akhlak dan sunnah Rasulullah S.A.W di dalam kehidupan seharian perlu dipupuk. Tanpa sifat mahmudah ini, maka manusia akan leka dan bersifat bangga diri. Kanak-kanak juga akan diberi pendedahan awal berkenaan sirah Rasulullah S.A.W dan membentuk keperibadian yang baik kepada mereka.




Program Sambutan Maulidur Rasul ini dijadikan acara tahunan agar dapat mendidik anak-anak dan masyarakat mencintai Rasulullah dari segi segi akhlak dan sosial. Di samping itu, program ini dapat merapatkan hubungan silaturrahim sesama umat Islam.